JOHOR BAHRU, 20 JAN : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat merasmikan Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, di sini, semalam.
Mengikut laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ia merupakan panggung opera antarabangsa pertama di negeri ini.
“Panggung opera berkenaan akan menjadi pusat persembahan pelbagai genre pementasan seni budaya dan boleh memuatkan lebih 500 penonton,” kata kenyataan itu.
Keberangkatan Sultan Ibrahim diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Tuanku Sultan dan Tuanku Permaisuri bersama paduka anakanda turut berkenan menyaksikan beberapa persembahan oleh Yayasan Warisan Johor dan artis-artis China sebelum berangkat pulang.
Source from : johorkini
Publish Date: 2020-01-22