JOHOR BAHRU – Lebih 300 tempahan bagi Proton X50 diterima AG Autoworld Sdn Bhd, pengedar Proton 4S terbesar di Johor selepas pelancaran model tersebut di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House.
Pengarah urusannya, Kuek Ser Kee berkata tempahan itu adalah memberangsangkan dengan model baharu itu menerima sambutan luar biasa sejak pratontonnya pada 15 Sept lalu.
“Kami secara khususnya memilih Permaisuri Zarith Sofiah Opera House untuk memperkenalkan Proton X50,” katanya dalam satu kenyataan.
Proton Holdings Bhd (Proton) secara rasminya melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) keduanya, Proton X50 menerusi saluran media sosial.
SUV dalam empat varian itu berharga RM79,200 bagi 1.5T Standard; RM84,800 untuk 1.5T Executive; RM93,200 bagi 1.5T Premium manakala RM103,300 bagi varian 1.5TGDi Flagship.
Proton X50 adalah kenderaan kedua yang diusahakan bersama Proton dan rakannya, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).
Dibangunkan di atas platform BMA (reka bentuk modular segmen B) kumpulan itu yang turut menyokong produk dari Geely dan Volvo, model berkenaan menggunakan enjin turbo, kotak gear transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem bantuan pemandu yang terkini.
Terdapat enam warna pilihan bagi model baharu itu iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red.
Source from : CELIK WANG